Kenal pasti dan fahami akne: bagaimana, kenapa, dan apa yang anda boleh lakukan untuk menanganinya.
Perubahan hormon, amalan pemakanan, face maskne dan sebagainya boleh menjadi faktor kepada masalah akne. Apakah yang menyebabkan akne malah menjadikannya lebih teruk? Selain itu, kenapakah penyingkiran minyak berlebihan, yang merupakan salah satu punca akne, menjadi kunci dalam menangani pertumbuhan akne?
Sama ada ia cuma beberapa bintik ataupun pembentukan yang meluas, akne boleh menggugat keyakinan diri anda. Memahami punca pertumbuhan akne boleh membantu anda menjaga kulit dan mencegah pencetusan. Mari kita mulakan dengan memahami bagaimana jerawat terjadi.
Permukaan kulit anda dipenuhi oleh bukaan kecil yang dipanggil liang roma yang mengandungi kelenjar minyak dan folikel rambut. Liang roma menghasilkan minyak bagi mengekalkan kelembapan kulit anda. Jerawat akan mula terbentuk apabila kelenjar minyak menghasilkan minyak yang berlebihan dan sel-sel kulit mati mula terkumpul di dalam liang roma anda, lantas menghalang pembebasan minyak secara normal dan menyebabkan apa yang dinamakan mikrokomedon (microcomedones). Ini menggalakan penimbunan mikrokomedon, yang seterusnya membesar dan menjadi komedo (comedones) – yang dikenali sebagai jerawat putih atau jerawat hitam.
Terdapat beberapa jenis bakteria pada kulit kita yang hidup bergantung kepada minyak dalam liang roma kita. Ini adalah normal dan kebiasaannya tidak menyebabkan sebarang masalah. Walau bagaimanapun, bagi orang yang mengalami akne, penghasilan minyak berlebihan dan pembentukan jerawat menggalakkan pembiakan bakteria. Hal ini boleh menyebabkan keradangan, mencetuskan tindak balas imun dan pembentukan akne yang merah, bengkak dan bernanah di sekitar kulit – aduh!
Sekiranya jerawat adalah hasil terakhir, apakah yang mencetuskan pengeluaran minyak berlebihan dan pembentukan yang menyebabkan liang roma tersumbat? Adakah sebarang kelakuan kita memburukkan lagi keadaan akne?
Hormon anda
Faktor utama akne adalah perubahan hormon, dan penyebab terbesarnya adalah penghasilan hormon seks yang bermula ketika akil baligh. Inilah punca akne disebabkan hormon paling kerap berlaku dalam kalangan remaja dan belia, sehingga hampir 95% daripada remaja lelaki dan hampir 85% daripada remaja perempuan. Hormon seks ini menjejaskan liang roma kulit melalui dua cara: Pertama, hormon seks menyebabkan kelenjar minyak menghasilkan minyak yang berlebihan; kedua, hormon seks menyebabkan sel-sel yang melindungi liang roma menebal, seterusnya menyebabkan pengumpulan sel-sel kulit mati yang menyumbatkan liang roma, dan bukannya disingkirkan seperti dalam keadaan normal.
Bagi kebanyakan remaja perempuan dan wanita, perubahan hormon sejurus sebelum atau pada permulaan kitaran haid mereka juga boleh mencetuskan akne.
Akne juga boleh menjadi masalah turun temurun dalam keluarga (terima kasih Ibu dan Ayah), kerana genetik turut menyumbang kepada kadar minyak pada kulit anda.
Apa yang anda boleh buat untuk membantu keadaan muka anda
Jenis solekan dan penggunaan produk untuk kulit dan rambut juga boleh menyebabkan pembentukan akne atau memburukkannya. Maka sebaiknya elakkan penggunaan produk berasaskan minyak sekiranya anda mempunyai kulit yang mudah berjerawat.
Tahukah anda bahawa penggunaan topeng muka pada kulit yang mudah berjerawat boleh mencetuskan pembentukan akne atau memburukkannya? Memang, face maskne adalah nyata. Rangsangan seperti gosokan, haba dan kelembapan yang wujud apabila anda memakai topeng muka yang ketat, boleh merangsangkan liang roma dan meningkatkan jumlah bakteria pada kulit anda. Memandangkan topeng muka kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, penjagaan kulit muka untuk menangani dan mencegah pertumbuhan face maskne perlu diberi perhatian. Kekalkan rutin penjagaan kulit harian yang baik dengan mencuci muka menggunakan pembersih yang tidak merangsangkan kulit dan bebas sabun setiap hari, serta mengenakan pelembap yang ringan dan bebas minyak untuk melindungi kulit anda sebelum memakai topeng muka. Penggunaan topeng muka yang sesuai dan tidak terlalu ketat mampu membantu mengurangkan gosokan, dan jangan lupa menanggalkan topeng muka sekali-sekala sekiranya sesuai berbuat demikian.
Makanan dan minuman anda
Amalan pemakanan anda juga boleh menyebabkan pembentukan akne atau memburukkannya, terutamanya jika anda mengambil makanan dan minuman manis, nasi putih, roti putih dan kentang yang berlebihan. Mengamalkan pemakanan yang sihat dan makan makanan seperti roti bijiran penuh, serta buah-buahan dan sayur-sayuran yang berserat tinggi amat digalakkan bagi orang yang mudah berjerawat. Susu dan produk tenusu juga boleh menyebabkan akne atau mencetuskannya bagi sesetengah orang.
Sesetengah ubat-ubatan atau makanan suplemen boleh menyebabkan pembentukan akne. Akne juga boleh dikaitkan dengan tabiat merokok dan berat badan berlebihan.
Persekitaran anda
Persekitaran kita juga boleh menjejaskan kulit kita. Pencemaran udara terutama di bandar serta haba, kelembapan dan pendedahan kepada cahaya matahari juga dikaitkan dengan pertumbuhan atau pencetusan akne.
Bagaimana dengan akne akibat stres (stress acne)? Beberapa kajian menunjukkan bahawa tekanan dan pergolakan emosi boleh menyebabkan atau memburukkan keadaan akne disebabkan perubahan kadar hormon dalam badan apabila kita stres atau cemas.
Nasihat paling utama untuk orang yang mudah berjerawat adalah mengelakkan daripada memicit jerawat, atas apa jua sebab! Memicit atau mengutil jerawat boleh menyebabkan keradangan dan penyebaran bakteria, dan turut menyebabkan parut yang lebih teruk dalam jangka masa panjang. Jadi, sila kawal keinginan anda untuk memicit jerawat.
Walaupun mencuci muka dengan pembersih yang tidak merangsangkan dan bebas sabun setiap hari disyorkan bagi mencegah pengumpulan minyak dan kotoran yang menyumbat liang roma, elakkan daripada menggosok secara kasar atau pembuangan sel mati yangberlebihan, kerana ini akan merosakkan atau memburukkan keradangan kulit anda. Semasa memilih produk penjagaan kulit dan solekan untuk kulit yang mudah berjerawat, cari produk yang bebas minyak dan bebas komedogenik – yang pada asasnya, tidak akan menyebabkan kulit anda lebih berminyak atau menyumbatkan liang roma.
Keadaan akne tidak mendefinisikan anda, maka terokailah rangkaian ACNE AID everyday solutions yang berkesan dalam menangani masalah akne – agar anda tampil dengan penuh keyakinan.