Fakta atau fiksyen? Penjagaan akne yang mudah!
Kenal pasti apa yang menyentuh kulit anda, contohnya jari, solekan dan topeng muka. Sekiranya anda mempunyai kulit yang mudah berjerawat, solekan yang berminyak dan menyumbat liang roma serta pemakaian topeng muka yang berpanjangan akan menyebabkan kulit anda meradang dan berjerawat. Ketika kulit anda sedang berjerawat, cuba untuk tidak menyentuh atau menggosok muka anda bagi mengelak penyebaran minyak, kotoran dan bakteria daripada tangan anda.
Kita pasti inginkan kulit yang bersih, tetapi awas, kita tidak boleh membersih secara berlebihan! Mencuci muka sangat disyorkan pada setiap pagi dan malam setiap hari bagi menyingkirkan minyak berlebihan dan mencegah pengumpulan kotoran dalam liang roma. Namun begitu, mencuci terlalu kerap mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Berpada-padalah dalam mencuci muka dan jangan lupa untuk gunakan pencuci yang bebas sabun, pH yang seimbang serta elakkan menggosok atau membuang sel mati terlalu kuat, yang boleh menyebabkan kulit meradang.
Kadang kala kita merasa sangat geram untuk memicit jerawat besar yang nampak “matang”. Tetapi tidak kira betapa tingginya keinginan anda, anda dinasihatkan untuk menahan keinginan untuk memicit atau mengutil jerawat anda agar tidak berlaku penyebaran bakteria yang mencetuskan akne atau keradangan kulit. Yang paling penting, biarkan sahaja jerawat tersebut – walaupun agak sukar untuk dilakukan – boleh mengurangkan risiko akne anda meninggalkan parut kekal.
Kadang-kadang kita tak dapat menahan keinginan untuk memicit jerawat tersebut, atau kita telah cuba yang terbaik menangani akne tetapi tetap berlaku perubahan warna dan parut setelah ia pulih. Jangan sedih – terdapat produk penjagaan kulit yang tidak memerlukan preskripsi yang boleh membaik pulih perubahan warna atau parut. Anda juga boleh berbincang dengan ahli farmasi atau pakar kulit berkenaan pelbagai pilihan pengurusan parut akne.
Pelbagai perkara terjadi dalam hidup kita dan kadang kala kita berhadapan dengan tekanan. Untuk kebanyakan orang, tekanan boleh memburukkan lagi keadaan akne. Mustahil bagi kita untuk tidak tertekan langsung tetapi kita boleh cuba meluangkan masa untuk diri kita sendiri secara berkala dan lakukan perkara yang dapat mengurangkan tekanan serta bertenang. Tanyalah pada diri anda, apakah perkara yang membuatkan anda tenang, lega dan gembira?
Kita selalu dengar bahawa coklat menyebabkan tumbuhnya akne, tetapi sebenarnya ia masih belum disahkan! Makanan yang mempunyai indeks glisemik (GI) yang tinggi dan susu boleh mencetus atau memburukkan keadaan akne bagi sesetengah orang. Oleh itu, amalkanlah pemakanan yang sihat dan seimbang dengan bijirin yang mempunyai indeks glisemik yang rendah, serta buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi serat bagi memastikan kulit anda turut sihat.
Sekiranya anda mempunyai kulit yang mudah berjerawat, anda perlu memilih produk penjagaan kulit dengan teliti – yang paling penting adalah bahan dalam produk tersebut. Pilih pencuci yang bebas sabun dan mempunyai pH yang seimbang bagi menyingkirkan lebihan minyak dan membersihkan liang roma. Selain daripada pencuci, pastikan pelembap, solekan serta pelindung matahari anda juga diperbuat daripada bahan bukan komedogenik (tidak menyumbatkan liang roma), bebas minyak dan anti-jerawat.
Bila sebut akne, kebanyakan kita terbayangkan imej remaja dalam fasa perubahan hormon dan muka dipenuhi jerawat (terima kasih, Hollywood!). Hampir semua remaja pernah mengalami akne di muka, tetapi ada juga yang mengalami akne hingga menginjak dewasa. Malah, adalah biasa untuk wanita mengalami jerawat sebelum haid atau ketika mengandung kerana pertukaran hormon. Ada juga yang mengalami kejadian tidak terjangka setelah akne timbul di anggota badan yang lain terutamanya dada, belakang dan bahu. Ini menunjukkan betapa pentingnya kita perlu menjaga kulit dari hujung rambut sampai hujung kaki!
Akne boleh menggugat keyakinan diri, emosi dan kesihatan mental secara keseluruhan. Tahukah anda, perasaan ini adalah benar, kerana lebih dari 50% orang mengatakan akne mereka menyebabkan mereka merasa cemas dan kecewa. Lebih 80% pula merasakan kurang keyakinan diri dan rasa tidak menarik. Sekiranya keadaan akne menyebabkan anda rasa patah semangat, meluahkan perasaan kepada seseorang mengenai bagaimana keadaan akne telah menjejaskan anda mungkin dapat membantu. Anda boleh cuba berkongsi dengan mak anda (kemungkinan besar dia turut mengalami akne pada waktu seusia anda!), ahli keluarga yang lain atau kawan-kawan.
Akne adalah sesuatu yang biasa berlaku. Ia melibatkan lebih kurang 90% daripada remaja pada sesuatu masa. Menangani jerawat juga boleh mengecewakan terutamanya jika ia berlaku sebelum peristiwa penting – tetapi masalah akne bukanlah sesuatu yang perlu anda hadapi sendirian. Sekiranya anda telah mencuba penjagaan asas kulit berjerawat namun kurang berjaya, akne sedang mengganggu emosi anda, atau anda mempunyai soalan berkenaan akne dan cara rawatannya, anda boleh berjumpa dengan ahli farmasi atau pakar kulit. Terdapat pelbagai cara untuk menangani pelbagai masalah akne, jadi bertanyalah kepada ahli farmasi atau pakar kulit berkenaan pilihan untuk mengawal akne anda.