Apakah perbezaan antara jerawat dan akne?

Apabila kita melihat ke cermin, kita dapat lihat beberapa bintik di muka, pipi, dagu, dahi dan juga di bibir – bagaimana untuk kenal pasti adakah itu jerawat atau akne? Istilah jerawat kebiasaannya merujuk kepada bintik putih atau hitam yang terbentuk apabila liang roma kulit anda tersumbat dengan minyak, sel kulit mati dan kotoran. Akne – atau bahasa saintifiknya, acne vulgaris – merujuk kepada keadaan kulit yang berminyak secara berlebihan dan pembentukan komedo (liang roma tersumbat) mengakibatkan pembiakan bakteria berlebihan dan keradangan.

Bintik putih vs bintik hitam

Komedo, atau liang roma tersumbat berlaku disebabkan pengumpulan minyak dan sel kulit mati dalam liang roma. Komedo terbahagi kepada komedo terbuka atau tertutup – komedo tertutup dikenali sebagai bintik putih, manakala komedo terbuka dikenali sebagai bintik hitam.

Berdasarkan namanya, kita boleh bayangkan bintik putih kelihatan seperti butiran putih yang timbul dari permukaan kulit tetapi tidak terbuka kepada udara.  Bintik putih biasanya tiada liang roma yang kelihatan di bahagian tengah, tidak merah dan tidak meradang.

Bintik hitam pula terbentuk apabila liang roma membesar dan terbuka kerana terlalu banyak minyak dan kotoran. Komedo terbuka kebiasaannya lebih rata berbanding komedo putih, dengan liang roma yang mengandungi penyumbat hitam yang kelihatan di bahagian tengah. Bahagian tengah kelihatan hitam kerana tindak balas kimia yang berlaku apabila pigmen melanin dalam sel kulit mati terdedah kepada udara – ia bukanlah kotoran!

Jerawat yang meradang

Pembentukan komedo adalah peringkat pertama akne. Liang roma yang tersumbat merupakan persekitaran yang sempurna untuk pembiakan bakteria yang biasanya terdapat pada permukaan kulit. Sesetengah komedo pecah, menyebabkan bakteria dan nanah merebak ke sekitar permukaan kulit. Tindak balas imun keradangan kemudian mengakibatkan kulit menjadi merah, bengkak, agak panas dan menyakitkan.

Jenis jerawat meradang bergantung kepada lokasi dan saiz yang terjejas, serta tahap tindak balas keradangan. Papula ialah benjolan berwarna merah di atas kulit, manakala pustula ialah benjolan berwarna merah yang bernanah. Nodul dan jerawat batu (kistik) merupakan jenis akne yang lebih parah. Nodul adalah benjolan keras yang menembus ke lapisan kulit yang lebih dalam, manakala jerawat batu adalah benjolan bernanah yang juga terbentuk pada lapisan kulit yang lebih dalam.

Siapa yang mendapat akne – dan di bahagian mana?

Kebiasaannya akne muncul pertama kali sewaktu akil baligh – terima kasih hormon! Akne sangat lazim di kalangan remaja dan belia, melibatkan 95% remaja lelaki dan 85% remaja perempuan. Akne, terutamanya yang parah, lebih kerap melibatkan remaja lelaki, manakala akne orang dewasa lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki. Memandangkan minyak berlebihan mengakibatkan liang roma tersumbat, maka orang yang mempunyai kulit berminyak lebih mudah mendapat akne.

Akne kebiasaannya terdapat pada muka tetapi boleh juga timbul pada leher dan bahagian atas badan. Benar – akne boleh timbul di bahagian belakang badan, dada dan juga bahu. Malah, kini ramai yang mengalami maskne – akne yang timbul pada bahagian bawah muka akibat pemakaian topeng muka.

Tidak kira siapakah anda atau akne timbul di bahagian mana badan anda, rangkaian produk ACNE-AID everyday solutions tersedia untuk anda bagi penyelesaian efektif masalah akne.