Apakah itu asid salisilik?

Terdapat banyak bahan dalam produk penjagaan kulit anti-akne yang berbeza, yang boleh membantu mengawal kulit yang mudah berjerawat serta pencetusan akne. Salah satu bahan utama yang sering digunakan dalam pencuci dan rawatan akne adalah asid salisilik. Apakah asid salisilik dan bagaimana ia membantu kulit anda yang mudah berjerawat?

Asid salisilik tidaklah serumit menyebutnya – kami janji! Ia tergolong dalam kumpulan kimia yang dikenali sebagai asid hidroksi dan selalu dirujuk sebagai asid beta-hidroksi. Terma “beta” dalam nama tersebut bermakna ia larut dalam minyak, yang bermaksud ia boleh larut dalam minyak pada kulit dan dalam liang roma. Terma “asid hidroksi” pula merujuk kepada apa yang dilakukan pada kulit anda – asid hidroksi bertindak menguraikan protein yang dikenali sebagai keratin, yang sangat penting untuk membentuk struktur sel kulit mati di lapisan luar kulit anda. Asid salisilik datang daripada beberapa jenis tumbuhan, seperti kulit pokok willow, dan daun wintergreen, tetapi ia juga boleh dihasilkan di dalam makmal.

Apakah yang asid salisilik lakukan pada kulit anda?

Dengan melarutkan dan menyingkirkan minyak dan protein dalam sel-sel kulit, asid salisilik melarut dan melonggarkan bahan seperti gam yang memegang sel kulit. Ini akan mempermudahkan penyingkiran sel kulit mati pada lapisan paling luar dan memberi laluan kepada sel kulit baru di bawahnya.

Oleh sebab itu, produk asid salisilik yang disapukan secara langsung pada kulit boleh digunakan untuk merawat pelbagai keadaan kulit, seperti kulit yang menebal, bersisik atau menggelupas. Produk asid salisilik terdapat dalam pelbagai bentuk, contohnya krim, pencuci, gel dan juga lapisan nipis dengan kepekatan dan kekuatan yang berbeza, bergantung kepada keadaan dan keperluan.

Bolehkah asid salisilik membantu kulit yang mudah berjerawat?

Apabila anda mengalami akne, penghasilan minyak berlebihan dalam liang roma kulit bergabung dengan sel kulit mati yang kemudiannya menyumbat liang roma dan menjadi komedo – bintik hitam dan bintik putih. Liang roma yang tersumbat ini akan menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan akne, menyebabkan kulit meradang dan badan memberi tindak balas imun.

Dengan keupayaannya untuk melembut dan menyingkirkan lapisan luar sel kulit mati, asid salisilik boleh membantu melambatkan pembentukan sel kulit mati dan mencegah liang roma tersumbat. Bukan itu sahaja, oleh kerana asid salisilik boleh larut dalam minyak, ia boleh menembusi kelenjar minyak dan membantu mengurangkan penghasilan minyak yang berlebihan, yang merupakan punca utama akne. Tambahan lagi, asid salisilik membantu menguraikan bintik hitam dan putih yang terbentuk serta mengurangkan keradangan kulit.

Secara keseluruhannya, produk asid salisilik boleh membantu kulit yang mudah berjerawat, patutlah ianya merupakan bahan yang biasa didapati dalam pencuci dan bahan sapuan untuk merawat akne. Asid salisilik juga kadang kala digabungkan dengan bahan lain untuk melawan bakteria yang menyebabkan akne, atau dengan bahan anti-akne yang lain untuk membantu penembusan ke dalam kulit.

Cara untuk menggunakan produk asid salisilik

Sama ada anda menggunakan pencuci, losyen, gel atau krim yang mengandungi asid salisilik, anda perlu sentiasa mengikut arahan yang tertera pada label produk – kuantiti yang patut digunakan, kekerapan harian dan tempoh penggunaannya.

Perkara yang perlu diambil kira ketika menggunakan produk asid salisilik

Sesetengah orang yang menggunakan produk asid salisilik mengalami kesan sampingan seperti kulit kering, pengelupasan, pedih atau keradangan kulit. Sekiranya ini terjadi kepada anda, anda perlu membilasnya dan mengurangkan kekerapan penggunaan produk tersebut. Bincangkan dengan ahli farmasi atau doktor sekiranya anda mempunyai sebarang kerisauan berkenaan keadaan kulit anda setelah menggunakan produk asid salisilik.

Sentiasa semak dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan sebarang produk asid salisilik bagi memastikan ianya sesuai untuk kulit anda.