Asas penjagaan kulit

Tidak ada satu pun rawatan akne yang berkesan untuk semua orang, tetapi rutin penjagaan kulit yang sihat merupakan cara terbaik untuk menjaga kulit yang mudah berjerawat. Memandangkan kita tidak boleh mengawal hormon dan genetik yang boleh menyebabkan kulit berminyak, tetapi kita boleh mengawal penjagaan kulit kita untuk mencegah liang roma tersumbat yang merupakan punca tumbuhnya jerawat.

Cuci kulit anda setiap hari

Ada kalanya kita memerlukan rawatan jerawat yang berkesan dengan cepat. Walau bagaimanapun, melakukan rutin penjagaan kulit secara konsisten dapat mengawal penghasilan minyak dan memastikan liang roma yang bersih. Ini sangat penting apabila anda menghadapi pencetusan akne atau mempunyai kulit yang mudah berjerawat. Jangan takut dengan frasa ‘rutin penjagaan harian’ – penjagaan kulit yang baik tidak semestinya memerlukan produk yang mahal atau mengambil masa yang sangat lama setiap hari! Penjagaan kulit yang baik bermula dengan cara pencucian mudah. Bagi kulit yang mudah berjerawat, adalah sangat penting untuk anda mencuci muka dua kali sehari – sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam sebelum tidur – menggunakan pencuci muka yang tidak merangsang kulit, pH yang neutral dan bebas sabun.

Sekiranya anda bersolek, jangan lupa untuk membersihkan solekan setiap malam sebelum tidur. Elakkan toner atau penanggal solekan yang boleh memburukkan lagi keadaan akne anda. Sebaliknya, pertimbangkan air micellar yang sangat sesuai untuk kulit berminyak atau sensitif, dan melembapkan tanpa merangsang kulit.

Pilih produk yang sesuai untuk kulit anda

Apabila anda memilih produk penjagaan kulit – pelembap, solekan, atau pelindung matahari – pastikan ianya bebas minyak dan produk bukan komedogenik yang diformulasikan khas untuk kulit mudah berjerawat. Ini akan memastikan produk yang anda gunakan tidak menyumbatkan liang roma dan memburukkan lagi keadaan akne anda.

Lindungi kulit anda dari sinaran matahari

Kita perlu melindungi kulit dari sinaran matahari yang memudaratkan. Terutamanya bagi orang yang berjerawat, kerana sesetengah ubat atau rawatan akne serta parut akne amat sensitif kepada sinaran matahari. Apabila anda akan berada di bawah sinaran matahari, sila sapukan pelindung matahari yang bebas minyak dan bukan komedogenik, atau pelembap berserta faktor perlindungan matahari (SPF) dengan spektrum yang luas bagi melindungi kulit anda. Seperti yang dinyatakan, adalah amat penting untuk mencuci muka anda sekali lagi sebelum tidur!

Rawat kulit anda dengan lembut

Layan kulit anda dengan baik! Elakkan gosokan secara kasar atau pembuangan sel mati yang melampau kerana mereka boleh menyebabkan kulit meradang dan rosak. Sekiranya anda sering bercukur, cukurlah dengan lembut dan berhati-hati dengan menggunakan pencukur yang bersih dan berkualiti bagi mengelakkan keadaan akne anda menjadi lebih teruk. Yang paling penting – elakkan menyentuh akne anda dan jangan sesekali memicit atau mengutil jerawat anda! Perbuatan tersebut bukan sahaja memburukkan keradangan kulit yang sedia ada, malah menyebarkan bakteria penyebab akne dan menjadikan kulit berparut.

Perhatikan makanan anda

Bagi sesetengah orang, pengambilan makanan dengan indeks glisemik (GI) yang tinggi, susu atau produk tenusu, akan menyebabkan mereka mendapat akne. Maka, menggantikan makanan yang berindeks glisemik tinggi, makanan dan minuman manis, nasi putih,  roti serta sayuran berkanji dengan makanan bijirin penuh yang berindeks glisemik rendah, serta sayuran berserat tinggi, mungkin dapat membantu anda menangani masalah akne. Walaubagaimanapun, jangan lupa perkara yang paling utama adalah amalan pemakanan yang sihat dan seimbang – kulit anda akan berterima kasih kepada anda!

Elakkan perkara yang menyebabkan anda tertekan

Tekanan, rasa cemas atau pergolakan emosi yang melampau boleh mengganggu kitaran hormon, yang mungkin mencetuskan atau memburukkan akne. Walaupun mustahil untuk tidak mengalami sebarang tekanan, kita boleh cuba mengenal pasti cara-cara untuk menguruskan tekanan dengan baik.

Pengurusan akne tanpa preskripsi

Langkah pertama menangani masalah akne ialah membersihkan kulit setiap hari dengan pencuci yang lembut, bebas sabun dan mempunyai pH yang neutral. Ini akan menyingkirkan minyak berlebihan dan mengelakkan liang roma tersumbat dengan kotoran dan sel kulit mati. Sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif, gunakan pencuci yang bebas pewangi atau kurang menyebabkan reaksi alergi bagi mengelakkan keradangan kulit.

Terdapat produk pengurusan akne yang tidak memerlukan preskripsi seperti krim atau gel jerawat, yang perlu disapu pada kawasan kulit yang terdapat akne yang bersih dan kering. Sesetengah orang mungkin memerlukan ubat akne berpreskripsi yang disarankan oleh doktor bagi merawat akne mereka. Rawatan akne perlu bermula secepat mungkin kerana sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, ia akan memburukkan keadaan dan meningkatkan risiko bintik berubah warna atau parut di kulit.

Sekiranya anda sedang mencari produk akne yang tidak memerlukan preskripsi, lembut dan efektif, anda boleh cuba pencuci yang mengandungi asid salisilik. Asid salisilik berkesan untuk membersihkan liang roma yang tersumbat dengan menguraikan minyak dan melarutkan bahan penyumbat, seterusnya membantu mempercepatkan pengurangan jerawat. Pencuci yang mengandungi asid salisilik boleh mencegah pengumpulan bahan penyumbat, yang seterusnya membantu mengawal pembentukan akne secara keseluruhan. Terdapat beberapa bentuk pencuci sama ada produk bilas atau lap – pilihlah yang sesuai dengan rutin anda. Di samping itu, juga terdapat pelbagai gel dan krim yang direka khas untuk membantu membersihkan jerawat yang timbul.

Ingat, anda tidak keseorangan – hampir setiap orang pernah mengalami akne terutamanya saat mereka menginjak remaja – akne boleh mempengaruhi cara anda melihat diri dan penampilan anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan berkenaan kulit atau cara menangani akne, bincanglah bersama ahli keluarga atau pakar kesihatan seperti pakar kulit atau ahli farmasi.