Apakah itu parut akne?

Menangani akne adalah satu perkara yang sukar, apatah lagi ia boleh meninggalkan parut setelah pulih. Hampir 67% daripada orang yang mengalami masalah akne melaporkan mendapat parut atau perubahan warna. Walau bagaimanapun, mari kita kaji kembali apakah parut akne dan bagaimana mereka terjadi.

Parut adalah tanda atau kulit yang kelihatan tidak sekata yang kekal pada kulit setelah luka sembuh. Ia terbentuk apabila badan pulih dan menggantikan kulit yang cedera. Tisu parut terdiri daripada kolagen fiber – protein yang sama pada kulit yang normal, tetapi pembentukannya akan mengubah rupa dan fungsi bahagian kulit tersebut.

Bagaimana dan kenapa parut akne terbentuk?

Parut akne boleh terbentuk apabila keradangan dan kecederaan yang berkaitan dengan akne mengubah proses penyembuhan. Ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan protein yang menguraikan dan membina semula tisu kulit, yang menyebabkan parut.

Walaupun begitu, tidak semua akne akan meninggalkan parut, bahkan masih tidak jelas siapakah yang berisiko akan mengalami parut akne.  Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko mendapat parut akne adalah faktor keturunan dalam pembentukan parut, jenis dan tahap keparahan akne (parut lebih cenderung terjadi disebabkan oleh jerawat nodul atau jerawat batu/kistik), tempoh akne keradangan berkekalan dan sekiranya anda memicit atau mengutil akne.

Cara terbaik untuk mengurangkan atau mencegah parut akne adalah mendapatkan rawatan yang efektif secepat mungkin dan semestinya, jangan memicit akne anda!

Jenis parut akne

Parut akne boleh kelihatan berbeza mengikut individu, dan setiap individu boleh mengalami beberapa jenis parut yang berbeza. Perbezaan jenis parut bergantung kepada jumlah kolagen yang dihasilkan badan dan bagaimana parut itu kelihatan.

Parut terbahagi kepada parut atrofik dan parut hypertrofi. Secara mudah, apabila terlalu sedikit kolagen, parut terbentuk secara tenggelam atau melekuk ke dalam kulit. Manakala sekiranya terlalu banyak kolagen, parut akan kelihatan tebal dan timbul dari permukaan kulit. Kedua-dua jenis parut ini boleh berwarna kemerah-merahan.

Parut jenis atrofik atau parut melekuk merupakan parut akne yang paling biasa. Parut atrofik terbahagi kepada tiga kumpulan kecil: parut boxcar, parut icepick, dan parut rolling. Nama-nama parut ini mungkin kedengaran pelik, tetapi ia membantu menggambarkan bentuk dan kedalaman jenis parut tersebut. Parut hypertrofi atau parut timbul pula berbentuk ketulan dan benjolan pada permukaan kulit. Sekiranya parut tersebut merebak melebihi parut akne yang asal, mereka dikenali sebagai parut keloid.

Akne juga boleh meninggalkan kesan berwarna hitam atau merah di atas kulit. Secara teknikal, ia tidak diklasifikasikan sebagai parut. Sebaliknya, kesan itu dikenali sebagai pigmentasi setelah keradangan, atau dalam bahasa mudahnya – perubahan warna pada kulit atau berbintik setelah akne hilang. Perubahan warna ini boleh muncul dalam bentuk bintik berwarna perang gelap (hiperpigmentasi), bintik putih cerah (hipopigmentasi), atau bintik merah (eritema). Risiko perubahan warna adalah lebih tinggi bagi orang yang berkulit gelap. Tanda bintik ini akan pudar secara perlahan-lahan tetapi mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk pudar sepenuhnya.

Pengurusan selepas akne pulih

Sekiranya anda bimbang dengan parut akne anda, anda boleh berjumpa dengan pegawai kesihatan seperti pakar kulit atau ahli farmasi untuk memahami jenis rawatan parut akne. Bukan hanya ada satu rawatan yang terbaik untuk menghilangkan parut, sebaliknya terdapat banyak jenis rawatan yang efektif dengan cara berbeza bergantung kepada jenis parut dan jenis kulit.

Sekiranya anda mencari produk bagi memulihkan parut dan perubahan warna setelah akne hilang, pastikan produk tersebut mempunyai kandungan bahan seperti retinol, asid salisilik, dan asid alfa-hidroksi. Produk yang mengandungi silikon juga boleh membantu baik pulih keadaan parut akne.

Sesetengah orang juga berpendapat bahawa bahan semula jadi seperti lidah buaya (aloe vera), minyak zaitun, vitamin C, minyak bunga matahari, cuka epal, madu, minyak kelapa dan jus lemon boleh membantu membaik pulih keadaan parut akne, perubahan warna dan kulit tidak sekata.

Perkara paling penting sebelum memulakan sebarang rawatan parut akne adalah memastikan keadaan akne anda di bawah kawalan. Sekiranya kulit anda masih meradang kerana akne – ia boleh mengurangkan keberkesanan rawatan parut – dan anda berisiko mendapat parut akne yang baru.